Total Pageviews

Tuesday, 26 July 2011

Warkah Buat Saudaraku Anggota Polis- Dr Asri



Terlebih dahulu, pohon kemaafan jika warkah ini terbuka. Saya harap ia dapat dibaca oleh semua. Jika ada kebaikan, ambillah darinya. Jika tidak, campaklah ia ke tepi dan lupakan sahaja. Ia hanya satu coretan dari seorang rakyat bawahan. Tanda cinta dan kasih kepada saudara yang saya lihat tercegat di segala penjuru negara atas tanggungjawab menjaga keamanan kita semua. Mata memandang, hati merintih dan berdoa agar tugasan saudara benar-benar diberikan pahala di sisi Tuhan dan diiktiraf di sisi rakyat.

Tugas Mulia

Saudaraku anggota polis,

Kerja polis adalah satu kerja yang mulia kerana menjaga keamanan dalam negara. Penat lelah anggota polis dalam memastikan negara kita aman dan adil adalah pahala yang amat besar di sisi Allah jika pengamalnya jujur dan ikhlas. Sepatutnya, tiada seorang pun rakyat yang cintakan keadilan dan keamanan akan membenci polis. Sebaliknya, perasaan fitrah; sayang dan menghargai akan tertanam dan mekar sebaik sahaja mendengar nama polis, melihat anggota atau apa sahaja perlambangan polis. Itulah perkara sewajarnya berlaku.

Saudaraku anggota polis,

Tugas seorang anggota polis -sebelum tugasan kenegaraan- sebenarnya adalah tugasan yang diperintahkan oleh Allah dan RasulNya iaitu ‘Menyuruh Kebaikan, Mencegah Kemungkaran’. Itu moto asal pasukan polis. Sekalipun, tumpuan terbanyaknya kepada bahagian kedua iaitu ‘Mencegah Kemungkaran’. Hakikatnya, polis berperanan menyelamatkan masyarakat dari kemurkaan Allah dengan dipastikan setiap penzalim akan dihalang, dicegah dan dihukum. Jika itu tidak berlaku, masyarakat akan porak peranda dan menerima hukuman dari Allah. Allah berfirman: (maksudnya):

“Telah dilaknat mereka yang kufur daripada Bani Israil melalui lidah Daud dan Isa bin Maryam. Yang demikian itu disebabkan mereka menderhaka dan selalu menceroboh. Mereka sentiasa tidak berlarang (sesama sendiri) perbuatan mungkar yang mereka kerjakan. Demi sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka telah lakukan. (Surah al-Maidah, ayat 78-79).

Nabi s.a.w pula bersabda:

“Sesungguhnya manusia apabila melihat orang zalim, namun tidak menghalang tangannya, hampir Allah akan meliputi mereka dengan hukumanNya” (Riwayat Abu Daud, al-Tirmizi dan al-Nasai dengan sanad yang sahih).

Kami sebagai rakyat mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak polis yang telah menyelamatkan masyarakat dari kemurkaan Allah, kezaliman dan kerosakan.

Bahaya Kuasa

Saudaraku anggota polis,

Namun, dalam masa yang sama, bidang tugas dan kuasa saudara yang menghalang kezaliman itu jika disalahgunakan boleh memberikan kesan yang sebaliknya. Ia boleh bertukar dari melindungi yang tidak bersalah kepada menginayainya, menghalang yang zalim kepada memberi peluang kepadanya, memberi hak kepada yang berhak kepada merampas hak dari tuannya. Jika itu berlaku, rosaklah masyarakat, hilanglah neraca keadilan, bermegah si zalim, kesakitanlah yang ditindas. Lantas, kebencian akan merebak, kepercayaan akan hilang dan saudaraku polis yang sepatutnya disayangi menjadi pihak dimusuhi, dibenci dan diragui.

Saudaraku anggota polis,

Ingin saya sebut di sini suatu tazkirah yang harapnya boleh memberikan manfaat kepada semua, khususnya mereka yang berkuasa seperti saudara. Saudaraku, kezaliman itu adalah suatu racun. Ia bukan sahaja menyakitkan yang dizalimi, tetapi suatu hari akan membawa sengsara, bahkan mengorbankan si zalim itu sendiri. Pada hari kita memukul orang yang tidak bersalah, melukai atau menfitnahnya, kita mungkin rasa selamat di balik peruntukan kuasa yang ada. Mungkin juga rasa selamat di balik pakaian lengkap kita yang mungkin gagal mangsa mengenali pelakunya.

Namun Tuhan tidak lupa. Akan ada harinya yang menanti kita di hadapan. Tangan yang memukul orang lain dan kaki yang menendang mangsa itu tidak akan terpadam catatannya sehingga kemaafan diberikan. Ketika saudara pulang ke rumah berjumpa keluarga, si mangsa mendongak ke langit mengadu kepada Tuhan Yang Maha Berkuasa. Dengarlah baik-baik apa yang yang disabdakan Nabi s.a.w:

“Takutlah kamu doa orang yang dizalimi, sesungguh antaranya dengan Allah tiada sebarang hijab (penghalang)” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Dalam riwayat Ahmad, baginda bersabda:

“Takutlah kamu doa orang yang dizalimi, sekalipun dia seorang yang jahat. Kejahatannya itu bagi dirinya” (hadis ini dinilai hasan oleh al-Albani).

Dalam riwayat Ahmad yang lain:

“Takutlah kamu doa orang yang dizalimi, sekalipun dia seorang yang kafir kerana ia tidak ada hijab (penghalang untuk Allah menerimanya). (hadis ini dinilai hasan oleh al-Albani).

Allah Tidak Lupa

Saudaraku anggota polis,

Tiada siapa antara kita yang dapat menyelamatkan dirinya dari hukuman Tuhan. Seseorang mungkin telah melupai orang yang dizaliminya, atau si mangsa juga mungkin terlupa, atau pergi menemui Ilahi terlebih dahulu. Namun doanya tetap hidup. Akan ada waktu, ia tetap datang bertandang dalam kehidupan si zalim; meragut kebahagiaannya, ketenteraman hidupnya dan mencampakkan derita dalam pelbagai warna dan rupa. Mungkin si zalim ketika itu terpinga dan bertanya ‘apakah salah saya?’. Dia terlupa bahawa Tuhan tidak lupa atas kezalimannya, di dunia dan akhirat sana.

Dunia Sementara

Saudaraku anggota polis,

Dunia ini sementara. Setiap kita akan ada hari akhirnya. Akan berakhirlah sebuah kehidupan dan bermulalah mahkamah keadilan Tuhan. Tiada kuasa yang dapat membela, tiada pembesar yang dapat berkata. Semua tunduk menunggu balasan. Firman Allah (maksudnya):

“Dan janganlah kamu menyangka bahawa Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim; sesungguhnya Dia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang ketika itu terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar), mereka terburu-buru (menyahut panggilan) sambil mendongakkan kepala mereka dengan mata yang tidak berkelip, dan hati mereka yang kosong (kerana bingung dan cemas)”. (Surah Ibrahim 42-43).

Saudaraku anggota polis,

Sekali lagi pada hari itu si zalim akan bertemu dengan semua mereka yang telah dimangsakan, di hadapan mahkamah yang Maha Adil. Tiada bukti yang dapat disembunyikan, diputarbelit dan ditipu kepada masyarakat manusia yang berkumpul ketika itu. Tiada media yang boleh diperguna dan tiada kuasa kerajaan yang boleh melindunginya. Adil seadil-adilnya. Bak kata Nabi s.a.w:

“Segala hak akan dibayar kepada empunya pada Hari Kiamat, sehinggakan akan dibalas untuk biri-biri yang bertanduk atas perbuatannya ke atas biri-biri yang tidak bertanduk” (Riwayat Muslim).

Sabda baginda juga :

“Sesiapa yang ada padanya kezaliman terhadap saudaranya (muslim yang lain); seperti terhadap maruah dan selainnya, mintalah halal pada hari ini sebelum tiba waktu yang tiada dinar dan dirham (tiada harta iaitu pada Hari Kiamat). Sekiranya baginya kebaikan (amalan soleh) maka akan diambil darinya dengan kadar kezalimannya. Jika tiada baginya kebaikan, maka akan diambil dosa orang yang dizalimi lalu ditanggung ke atasnya” (Riwayat al-Bukhari).






Nasihati Hasan al-Basri

Saudaraku anggota polis,

Saya tahu, kadang-kala ada keadaan yang sukar sebagai anggota polis yang terpaksa melaksanakan arahan ‘atasan’. Maka, mungkin ada yang berkata ‘kami hanya menjalankan tugas’. Sudilah saudara mendengar nasihat tokoh Islam yang agung al-Imam Hasan al-Basri r.a. kepada Gabenor Iraq dan Khurasan iaitu ‘Umar bin Hubairah. Ketika itu zaman pemerintahan Khalifah Yazid bin Abdul Malik. Kata ‘Umar bin Hubairah:

“Sesungguhnya khalifah Yazid bin Abdul Malik kadang-kala menyuruhku melaksanakan perkara yang aku rasa tidak puas hati dari segi keadilan. Apakah jika aku melaksanakannya menjadi sutu kesalahan di sisi agama? Kata Hasan al-Basri: “Wahai Umar bin Hubairah! Takutlah Allah mengenai Yazid, jangan engkau takutkan Yazid mengenai Allah. Ketahuilah sesungguhnya Allah azza wajalla dapat menghalang Yazid daripada bertindak ke atasmu, tetapi Yazid tidak dapat menghalang Allah daripada bertindak ke atasmu.

Wahai ‘Umar bin Hubairah! Sesungguhnya akan turun kepadamu malaikat yang bengis dan keras, dia tidak akan menderhakai apa yang Allah perintahkannya. Dia akan mengambil engkau dari tempat dudukmu ini, dan memindahkan engkau dari istanamu yang luas, ke kubur yang sempit. Di sana tiada Yazid, hanya yang ada amalanmu yang menyanggahi Tuhan Yazid.

Wahai ‘Umar bin Hubairah! Sekiranya engkau bersama Allah dan ketaatan kepadaNya, ia boleh menghalangmu dari kejahatan Yazid di dunia dan akhirat. Jika engkau bersama Yazid dengan menderhakai Allah, sesungguhnya Allah akan menyerahkanmu kepada Yazid. Ketahuilah wahai ‘Umar bin bin Hubairah! Tidak ada ketaatan kepada makhluk dalam menderhakai Pencipta”. Maka menangislah Gabenor ‘Umar bin Hubairah”. (rujukan: Mir at al-Jinan wa ‘Ibrah al-Yaqzan)

Saudaraku anggota polis,

Kita boleh bertugas kepada sesiapa pun, tetapi jangan lupa tanggungjawab kita di hadapan Allah. Tiada cacatnya menjadi anggota polis. Saudara bukan musuh rakyat. Sebaliknya, saudara diperlukan rakyat. Apa yang cacat dan menimbulkan kebencian awam adalah tindakan kita sendiri jika menyalahi prinsip-prinsip keadilan dan keamanan. Jika itu tidak berlaku, sayang dan cinta rakyat tertumpah kepada saudara.

Ingatlah kata-kata Abu Bakar al-Siddiq: “Benar adalah amanah, bohong adalah khianat”. Jika saudara benar, rakyat sayang, Allah juga sayang. Kedamaian jiwa pun menjelang. Jika saudara bohong rakyat benci, Allah juga benci. Rezeki tidak halal, hidup tidak bahagia.

Saudaraku anggota polis,

Inilah pandangan seorang rakyat marhaen awam seperti saya. Tiada kebencian antara rakyat dan saudara jika keadilan itu tertegak. Rakyat awam bukan sahaja mahukan keadilan yang ditafsirkan oleh pihak saudara, tetapi keadilan yang dapat difahami oleh semua. Bukan sahaja adil dari segi bicaranya, tetapi hendaklah kelihatannya juga adil. Semoga Allah merahmati saudara dan tugas saudara. Diberikan rezeki yang halal. Bebas dari kezaliman dan rasuah. Kami akan bersama menyanjungi saudara! Selamat bertugas!

Mohd Asri Zainul Abidin

Monday, 25 July 2011

Tak munasabah cincin RM24.45 juta Rosmah untuk pameran sulit- Chegu Bard



Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin tidak percaya isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor membeli cincin RM24.45 juta, hanya untuk tujuan pameran ‘sulit’.
“Kalau diikutkan dengan sifat Rosmah yang sukakan publisiti besar-besaran tentang apa jua yang melibatkan beliau, takkanlah beliau hendak mempamerkan cincin jutaan ringgit di Pameran yang Sulit?,” kata Badrul atau lebih popular dengan nama Chegu Bard.
Sebelum ini, sebuah blog, Edyesdot.com mendedahkan bahawa pameran sulit tersebut berlangsung pada 17-19 April 2011, di sebuah tempat yang turut dirahsiakan.
Berlian itu kemudian dibawa ke Singapura empat hari selepas itu dengan menggunakan borang K2 yang dikeluarkan Kastam di Raja Malaysia sebagai bukti pengeluaran.
Namun borang tersebut menimbulkan banyak keraguan termasuk status pegawai yang menurunkan tandatangan ke atas borang kastam berkenaan.
Mengulas lanjut, Chegu Bard tidak menolak kemungkinan terdapat usaha untuk menggambarkan seolah cincin berlian berkenaan telah dipulangkan semula kepada syarikat pengeluarnya, Jacob & Co yang berpengkalan di New York.
“Pelbagai penafian dan helah dibuat untuk mengaburi mata rakyat. Dan jangan terkejut jika dia (Rosmah) akan hantar balik cincin tersebut ke New York,” kata Chegu Bard ketika dihubungi Keadilandaily.
Chegubard sebelum ini mendedahkan bukti pembelian cincin melalui skrin sistem maklumat Kastam Diraja Malaysia (KDRM) tertera nama Rosmah sebagai pengimport dari syarikat berlian mahal itu.
Beliau pada 13 Julai lalu membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Pulau Pinang berhubung pembelian cincin “Natural Fancy Gray Cushion Cut Diomand” yang dibeli Rosmah.
Bagaimanapun, sebaik sahaja SAMM membuat laporan kepada SPRM, sistem KDRM dilapor mengalami kerosakan selama tiga jam, dipercayai sebagai usaha untuk melindungi siasatan.
Sehingga kini Rosmah tidak memberikan sebarang penjelasan sebaliknya menggunakan blogger pro Umno untuk menangkis dakwaan berkenaan, dengan menyatakan berlian itu dibawa masuk bagi tujuan pameran sulit, sebelum dibawa keluar ke Singapura.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=17472

Tohmahan Wahabi dan Pengganas-Khairy Jamaluddin



Saya berasa sungguh terkejut dengan laporan media bahawa kononnya Majlis Keselamatan Negara, semasa mesyuaratnya yang telah diadakan hari ini, telah mengenalpasti bekas Mufti Perlis, Prof Madya Dato’ Dr Asri Zainul Abidin, serta beberapa pemimpin agama Islam yang lain sebagai pendokong gerakan Wahabi serta pengganas dan merasakan ia sebagai suatu yang sangat keterlaluan sekiranya laporan ini betul.

Sebarang maklumat yang telah dibentangkan itu hendaklah diteliti dan dihalusi secara adil dan amatlah tidak wajar sekiranya pihak yang berkenaan bersifat melulu dengan terus menjatuhkan ketetapan atau hukum tanpa usul periksa dan tidak memberikan peluang kepada Dr Asri serta mereka yang telah disenaraikan sebagai pendokong gerakan Wahabi atau pengganas itu membela diri dan memberikan hujah bagi menjelaskan kedudukan mereka.

Pada masa yang sama, saya ingin menegaskan bahawa daripada pengamatan serta pengalaman saya bertukar pendapat dengan beliau, saya dapati Dr Asri adalah seorang tokoh cendiakawan Islam yang begitu menonjol dengan pemikiran beliau yang bukan sahaja terbuka, moderat bahkan progresif di dalam usaha memajukan ummah serta usaha-usaha dakwah. Saya tidak nampak langsung sebarang tindakan atau usaha subversif daripada Dr Asri yang melayakkan beliau untuk dilabel sebagai pengganas.

Pada pendapat saya, sebarang langkah melulu terutama di dalam melabel serta menjatuhkan hukum kepada pihak-pihak tertentu tanpa penelitian yang mendalam serta memberikan mereka peluang untuk memberi penjelasan adalah suatu yang tidak boleh diterima apatah lagi apabila tuduhan atau label tersebut menyabitkan seseorang atau kelompok tertentu sebagai pengganas.

Oleh yang demikian, saya mendesak agar Majlis Keselamatan Negara memberi penjelasan berhubung laporan media yang berkenaan dan sekiranya benar memberi Dr Asri dan mana-mana tokoh agama Islam yang telah disenaraikan sebagai pendokong gerakan Wahabi atau pengganas peluang untuk tampil memberikan penjelasan berhubung isu yang dibangkitkan.

dari fanpage Khairy Jamaluddin

Komisyen Scorpene, individu ketiga didedah semasa perbicaraan


Komisyen ketiga pembelian kapal selam Scorpene yang dibayar ‘pegawai peringkat tinggi’ kerajaan Malaysia akan didedahkan ketika perbicaraan rasuah itu di mahkamah Perancis, September ini.
Pengarah Suara Rakyat Malaysia(Suaram), Cynthia Gabriel sebelum ini mendedahkan bukti baru bahawa komisyen ketiga itu dibayar lebih besar daripada sebelumnya kepada syarikat Perimekar Sdn Bhd, yang berjumlah RM540 juta.
Perimekar dimiliki sepenuhnya Ombak Laut, syarikat Abdul Razak Baginda iaitu kenalan rapat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang terlepas dari hukuman gantung kerana membunuh warga Mongolia, Altantuya Shaariibu.
Penyiasat persendirian yang pernah bertugas dengan Abdul Razak, P Balasubramanian pernah mendedahkan dalam akuan bersumpahnya yang Najib mempunyai hubungan dan turut terlibat dengan pembunuhan itu.
Cynthia ketika dihubungi berkata, perbicaraan di mahkamah Perancis itu juga dijangka mendedahkan individu ketiga yang menaiki penerbangan ke Macau pada 2002.
Individu ‘misteri’ itu bersama Abdul Razak dan Altantuya dikesan menaiki pesawat ke pulau itu bagi urusan pembelian kapal selam berkenaan.
“Melalui mahkamah kita dibenarkan untuk akses kepada dokumen syarikat yang menjalankan urusniaga,” kata Cynthia kepada Keadilandaily.
Menurutnya, Mahkamah Perancis semakin ‘meunjukkan minat’ dalam kes itu ekoran pentadbiran Najib menghantar pulang peguam Wiliam Bourdon yang mengendalikan kes rasuah berkenaan.
“Seperti rakyat Perancis yang terkejut dengan penghantaran pulang William Bourdon, kini mahkamah di negara itu semakin berminat dengan kes ini. Kecenderungan ini sama ditunjukkan oleh mahkamah Perancis seperti kes di Pakistan,” kata Cynthia.
Media antarabangsa sebelum ini melaporkan 11 jurutera Perancis mati dalam serangan bom di Karachi pada 2002. Kejadian tersebut didakwa berpunca dari pembatalan rasuah kepada tentera Pakistan dalam pembelian tiga kapal selam Agosta 90-class.
“Jelas ada perkara sulit yang sangat-sangat ingin disembunyikan Najib sampai sanggup ‘menendang keluar peguam hak asasi William Bourdon.
“Suaram juga sedang memikirkan tindakan lanjut akibat keputusan kerajaan tempoh hari,” sambung Cynthia.
Dalam pada itu, beliau tidak pasti sama ada penghantaran pulang William merangkumi arahan sebagai ‘persona non-grata’ iaitu individu yang dihalang dari memasuki Malaysia, atau pun larangan kemasukan bersifat sementara.
“Itu kena tanya Hishamuddin (Menteri Dalam Negeri). Mereka menghalau William tanpa asas yang jelas. Namun, kami akan undang lagi beliau ke Malaysia.
“Apa yang menjadi isu ialah imej Malaysia tercemar teruk. Penduduk di Eropah terkejut dengan tindakan kerajaan dan semakin tertarik untuk terus mengikuti kes ini,” katanya.
Justeru, Cynthia mengalu-alukan sumbangan berterusan rakyat Malaysia kepada Suaram untuk membiayai kes perbicaraan di mahkamah Perancis yang bakal bermula September ini.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=17415

Biometrik: Bukan langkah selamat malah sia-sia



Penggunaan sistem biometrik dalam pilihanraya, terutama bagi proses pengesahan pegundi, bukanlah satu langkah yang baik, tepat dan selamat, malah merupakan usaha yang sia-sia dan membazir.

Untuk membolehkankan pilihanraya di negara ini dilaksanakan dengan bersih dan adil, Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) tidak sepatutnya memperkenalkan sistem itu, tetapi menimbang 8 cadangan jawatankuasa Bersih 2.0 yang dikemukakan kepada pihak SPR dan kerajaan baru-baru ini.

Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Nasrudin Hassan berkata, hanya dengan menerima cadangan itu, semoga imej dan integriti pemerintah dan SPR di mata dan hati rakyat Malaysia dapat dipulihkan.

Menurut beliau, setiap sistem teknologi maklumat yang memerlukan pengesahan aplikasi sistem akan merujuk kepada pengkalan data.

Katanya, SPR telah diketahui umum telah lama menggunakan aplikasi teknologi maklumat untuk menyimpan maklumat pengundi di dalam pengkalan data.

"Malah maklumat daftar pengundi boleh dicapai oleh setiap pengundi secara ‘online’ dengan menggunakan kekunci unik seperti nombor kad pengenalan untuk aplikasi sistem SPR itu mengarahkan capaian maklumat pengundi daripada pengkalan data SPR.

"Rakyat tahu masalah utama aplikasi sistem teknologi maklumat SPR bukanlah pada aplikasi itu, tetapi data atau maklumat yang berada di dalam pengkalan data SPR," katanya ketika dihubungi hari ini bagi mengulas cadangan SPR untuk memperkenalkan sistem biometrik dalam pilihanraya.

Menurut beliau, dalam konteks SPR, hanya SPR sahaja yang tahu siapa yang bertanggungjawab untuk memasukkan dan mengemaskinikan data atau maklumat tersebut di dalam pengkalan data.

Data atau maklumat di dalam pengkalan data, katanya, tidak boleh berubah dengan sendirinya. Sebaliknya, ia hanya boleh berubah dengan tindakan manusia yang menggunakannya.

"Siapa yang menggunakannya? Anda tahu siapa? Kalau SPR tahu bahawa masalah utama adalah integriti data atau maklumat bukanlah kerana aplikasi capaian teknologi maklumat atau sistem maklumat itu, kenapa sistem biometrik dicadangkan?

"Sistem biometrik juga adalah sebuah aplikasi teknologi maklumat atau sistem maklumat seperti aplikasi yang digunakan sekarang, cuma perbezaannya adalah cadangan baru itu menggunakan ‘hardware’ atau perkakasan serta perisian dan bukan ‘software’ atau perisian semata-mata untuk capaian data atau maklumat pengundi dari pengkalan data seperti yang digunakan hari ini," ujarnya.

Sebagai contoh, katanya, sistem biometrik yang menggunakan cap jari akan bertindak sebagai kunci unik seperti nombor kad pengenalan untuk capaian data atau maklumat daripada pengkalan data.

"Setiap rakyat Malaysia mempunyai nombor kad pengenalan unik dan boleh dipadankan dengan cap jari yang juga unik. Sepertimana maklumat nombor kad pengenalan yang perlu dimasukkan ke dalam pengkalan data untuk membolehkan maklumat pengundi dicapai (nama penuh, alamat, tempat mengundi dan sebagainya), cap jari juga perlu dimasukkan ke dalam pengkalan data untuk membolehkan capaian itu dilakukan.

"Sepertimana didapati terdapat nombor kad pengenalan yang sama tetapi mempunyai tempat mengundi yang berbeza (pelbagai lokasi), cap jari juga boleh dipadankan dengan tempat mengundi yang berbeza selagimana nombor kad pengenalan dan cap jari yang sama dimasukkan oleh SPR ke dalam beberapa rekod (tempat mengundi dan alamat) yang berbeza, keputusan daripada sistem biometrik juga akan menghasilkan senarai pengundi yang boleh mengundi di beberapa lokasi mengundi," kata Nasrudin.

Oleh itu, menurutnya, isu ketelusan dan pengundi hantu bukanlah kerana aplikasi capaian (perkakasan atau/dan perisian). Jadi, apa perlu ia ditukarkan jika prosesnya sama? Pertukaran lebih dilihat hanya dari aspek kosmetik luar.

"Jawapannya adalah tidak perlu. Siapakah lagi yang akan mendapat habuan dari kegawatan ini melalui cadangan sistem biometrik itu?

"Secanggih manapun aplikasi capaian teknologi maklumat atau sistem maklumat itu (perkakasan atau perisian, biometrik (cip/kad Id, suara, pengesahan ibu jari atau mata), jika data atau maklumat yang sedia ada di dalam pengkalan data tidak dibersihkan, tidak dikawal dan diurus selia secara bebas oleh badan yang bebas serta dipercayai rakyat akan ketelusan mereka, saya tidak melihat sumbangan sistem biometrik itu kepada ‘ketelusan' itu khususnya penyelesaian kepada solusi isu pengundi hantu.

"Malah manipulasi sistem biometrik boleh dilakukan kepada pengkalan data. Biometrik boleh mencegah penipuan pilihanraya, Biometrik juga boleh digunakan untuk menipu pilihanraya,” tegas beliau.

harakahdaily

Himpunan 9 Julai, Ibrahim Ali kecewa




Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Datuk Ibrahim Ali melahirkan kekecewaan kerana kehadiran anggotanya ketika perhimpunan di Tasik Titiwangsa pada 9 Julai lalu adalah kurang menggalakkan

“Kemuncak 9 Julai saya pergi ke daerah Selangor dan bertemu jawatankuasa Perkasa peringkat Wilayah Persekutuan. Walaupun notis singkat dalam pertemuan pertama tidak sampai 60 peratus hadir.

“Pusingan kedua juga sama dan ketika itu kita harap dapat pamerkan Perkasa berlegar di Tasik Titiwangsa.

“Malangnya keadaan tidak menggalakkan. Kemungkinan sebab sekatan jalan raya,” katanya katanya dalam majlis penutup Mesyuarat Khas Tahunan Perkasa Negeri Selangor 2010 di Dewan Sri Budiman, Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini semalam.

Pada perhimpunan 9 Julai lalu Perkasa memutuskan untuk bersiar-siar di Tasik Titiwangsa setelah permit mereka ditolak pihak polis.

Menyentuh mengenai kegagalan itu Ibrahim Ali berkata sekiranya perkara tersebut masih berterusan di kalangan anggota Perkasa tidak hairan sekiranya dua negeri iaitu Perak dan Selangor akan kekal di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat.

Politik Melayu

Menurut beliau kehadiran anggota Perkasa bagi kedua-dua negeri itu memberi makna besar kepada kelestarian kuasa politik Melayu.

“Kita tidak pandai putar belit seperti mereka…sampai akhirnya polis kena tayang video. Dulu mereka minta Suruhanjaya Diraja untuk kes Teoh Beng Hock, tapi bila dah tubuh mereka kata Suruhanjaya tidak betul.

“Jika dilihatlah peringkat bawahan keadaan seperti ini saya tidak taruh harapan terhadap Selangor.

“Kehadiran anggota di Perak dan Selangor memberi makna..tidak perlu saya ulas kerana Perak dan Selangor kita perlu kuat untuk mendukung kuasa politik kekal terhadap orang Melayu.

“Tetapi jika ini keadaannya..saya tidak menaruh harapan malah Selangor akan jadi seperti Pulau Pinang dalam proses.

“Kalau Selangor gagal kita ambil alih, satu penggal lagi ia akan jadi pintu masuk kepada Pakatan…pada masa itu 23 tahun pun belum tentu kita dapat tawan maka memekiklah kita,” katanya kepada kira-kira 500 anggota yang hadir.

freemalaysiatoday

Kajian: Kos hidup naik, BN boleh rasa tempias di PRU


Peningkatan kos hidup dilihat akan menyulitkan Barisan Nasional (BN) dalam menarik sokongan pada pilihan raya umum ke-13 khususnya di kalangan pengundi kawasan bandar yang berhadapan dengan kesan pendapatan kekal tidak berubah sedangkan paras inflasi pula mengalami kenaikan.

Pugutan suara di kalangan 100 warga kota oleh The Malaysian Insider baru-baru ini menunjukkan 44 peratus menuding jari ke arah kerajaan berhubung kenaikan kos berbanding 41 peratus mengaitkan dengan faktor global dan hanya lima peratus mempersalahkan golongan peniaga.

Minggu lalu, Putrajaya mengumumkan bahawa kadar inflasi Malaysia mengalami peningkatan sebanyak 3.5 peratus pada Jun berbanding tempoh yang sama tahun lalu. Kadar inflasi pada Mei 2011 adalah 3.3 peratus, masih rendah daripada paras lima peratus yang boleh diterima oleh kerajaan.

Pentadbiran Najib tidak mengatakan bila akan memanggil pilihan raya umum tergempar, tetapi timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam memberitahu ahli-ahli Umno agar bersedia memandangkan pilihan raya boleh diadakan bila-bila masa.

Daripada 86 orang, yang merupakan pengundi berdaftar, seramai 40 responden berkata kos sara hidup kemungkinan akan memberi kesan ke atas pendirian sokongan mereka dalam pilihan raya umum manakala 31 yang lain mengatakan tidak mungkin ada kesan ke atas mereka. Seramai 15 pemilih berkata kos sara hidup akan memainkan peranan berkecuali dalam menentukan siapa yang mereka akan mengundi kelak.

Seorang pesara Rohani Saad, 57, memberitahu The Malaysian Insider, dia percaya undi ketika pilihan raya umum merupakan satu-satunya cara boleh melahirkan rasa tidak puas hati mengenai kenaikan kos sara hidup.

“Jika kerajaan mengatakan harga tak naik, harga tentu naik,” kata Rohani yang kini bergantung pada simpanannya.

Meskipun Rohani berjimat cermat, membelanjakan sekitar RM100 seminggu untuk barang-barang runcit bagi suami dan dirinya, dia merasakan kedudukan kewangan semakin buruk tahun ini.

Malah mereka yang agak berada pun merasakan mereka “miskin” sekarang ekoran peningkatan inflasi.

Seorang pengurus pejabat yang hanya mahu dikenali sebagai Anne berkata, kerajaan seharusnya memantau harga barang khususnya harga barang-barang keperluan seharian seperti makanan bagi membolehkan kos sara hidup dapat dikawal.

Meskipun pendapatan Anne dan suaminya mencecah RM10,000 sebulan tetapi dia terpaksa memotong bajet membeli ikan sebab ia terlalu mahal sekarang.

“Kami suka makan ikan, tetapi kami juga rasa perit (kenaikan harga),” katanya lagi.

Meskipun pentadbiran Najib menggerakkan program-program transformasi ekonomi tetapi kesannya belum dirasai rakyat memandangkan mereka juga berhadapan dengan kenaikan harga barangan khususnya di kawasan-kawasan bandar berbanding kadar pendapatan.

Perkara ini juga dikesan menerusi pungutan suara yang diadakan.

Kira-kira 34 peratus responden berkata mereka merasakan kedudukan kewangan mereka lebih buruk berbanding setahun lalu manakala 43 peratus merasakan tiada sebarang perubahan dan 23 peratus mengatakan keadaan mereka lebih baik.

“Kehidupan di sini semakin buruk sekarang,” kata Choong, 40, seorang pemilik restoran di Subang Jaya.

Ibu kepada empat orang anak ini berkata, rakyat Malaysia perlu mengeluarkan wang yang banyak untuk memiliki barangan keperluan berbanding negara-negara lain seperti England.

Selain perbelanjaan isu rumah yang semakin meningkat, katanya, bisnes restorannya merasai kesan memandangkan ramai pelanggan sudah kurang makan di luar ekoran kenaikan kos.

Bagaimanapun beberapa orang yang ditemui tidak bersetuju dengan Choong dengan mengatakan bahawa rakyat Malaysia lebih baik berbanding mereka yang tinggal di luar negara.

“Rakyat Malaysia yang tidak pernah tinggal di luar negara tidak tahu yang mereka sebenarnya bernasib baik kerana semuanya ada di sini,” kata Muhammad Zafran Kadir, seorang pengurus komunikasi dari Subang Jaya.

“Berbanding kepercayaan popular, Malaysia merupakan salah satu bandar raya paling rendah kos hidup. Ketika saya berada di Australia, saya mengeluarkan A$400 (RM1,280) seminggu untuk sewa. Jika bukan kerana pinjaman kerajaan, saya tidak boleh hidup,” katanya lagi.

Pun begitu, penganalisis memberi amaran bahawa kos sara hidup dan keadaan ekonomi negara akan menjadi isu utama pilihan raya.

“Kos hidup sentiasa menjadi isu serius bagi kerajaan apabila berhadapan dengan pilihan raya,” kata James Chin, penganalisis politik dari Monash Univeristy kampus Malaysia.

“Ketika keadaan ekonomi tidak baik, kerajaan berhadapan dengan kesukaran,” katanya.

Ketua Eksekutif Institute for Democracy and Economic Affairs, Wan Saiful Wan Jan berkata kos sara hidup merupakan isu paling ketara di kalangan orang ramai.

“Sejauh mana baiknya keadaan ekonomi, ia memainkan peranan signifikan dalam arah aliran pengundian,” katanya.

Sehubungan itu, Wan Saiful juga berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kini berhadapan dengan pilihan sukar memandangkan beliau terperangkap dalam dilema sama ada wajar memotong subsidi, sebagai sebahagian daripada pembaharuan fiskal bagi mengimbangkan bajet kerajaan, tetapi pada masa yang sama berhadapan dengan situasi tekanan kenaikan harga barang.

Menurutnya, pengenalan Dasar Ekonomi Baru (DEB) oleh Tun Abdul Razak pada 1970 telah membawa kepada pergantungan ke atas campur tangan kerajaan dan subsidi, sekali gus mewujudkan budaya subsidi yang sukar bagi Najib untuk keluar.

“Bagaimana Najib boleh memberitahu publik bahawa subsidi tidak boleh berkekalan?” kata Wan Saiful.

“Beliau tidak boleh kata bapanya salah apabila melaksanakan DEB,” katanya lagi sambil menambah, “sesuatu yang malang bagi kerajaan buat masa sekarang.”

Wan Saiful berkata, Pakatan Rakyat memperoleh kelebihan politik daripada tindakan Putrajaya memotong subsidi dan impaknya ke atas kos sara hidup tetapi menurutnya, ia pendekatan popular dan tidak bertanggungjawab.

Malah kata beliau, sebagaimana kerajaan semasa, Pakatan Rakyat tidak dapat mengekalkan subsidi untuk jangka masa yang panjang.

Kata Wan Saiful, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim seharusnya lebih mengetahui perkara ini berbanding menentang pelarasan subsidi.

Sementara parti-parti politik berusaha memikat undi, pengundi sendiri kelihatan sinis dengan mendakwa bahawa sokongan mereka hanya dikira ketika pilihan raya tetapi bukan dalam persekitaran realiti.

Seorang penjaja yang hanya mahu dikenali sebagai Lee berkata, meskipun dia sudah banyak kali mengundi tetapi tidak merasakan undinya ada membawa sebarang perubahan.

Lee yang berusia 70 tahun berkata, dia kecewa kerana harapannya agar kehidupan akan bertambah baik tidak mendapat perhatian ahli-ahli politik.

Katanya, bilangan mereka yang mengunjungi gerainya semakin menurun memandangkan ramai mahu makan di rumah.

“Saya tidak tahu ke mana pergi mereka semua,” katanya dengan nada kesal.

themalaysianinsider
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Followers

Bloggers - Meet Millions of Bloggers Kedah Blogger Community