SENJA itu barulah masyarakat hewan di tasik indah tersebut dapat berhimpun semula. Seperti biasa, setelah enak mandi di tasik, Merjah yang sampai dulu. Entah bagaimana burung merpati yang bertiga itu sempat melakar warna dan kata pada badan Merjah sehingga terbentuklah abjad “B” hampir di serata badannya. Merjah bangga kerana dia tahu bahawa abjad “B” berlatar kuning itu bererti “Bersih”.
Merjah tidak risau akan persekitaran tasiknya. Tasik itu sentiasa tenang—dan pada waktu senja, sentiasa indah, sentiasa jernih, sentiasa bersih. Dengan tidak membacanya pun Merjah tahu bahawa abjad “B” itu sangat nyaring dan merdu bersuara. Dan seperti berulang didengarnya: “Bersih, Bersih—kasih, kasih!”
Semua penghuni tasik itu sudah pun pulang—melalui daratan dan angkasa—dari sejauh sempadan di Selatan dan di Utara . Sejak dua minggu lalu aliran manusia sudah pun mula ditapis oleh para kuasawan yang sangat megah berkuasa.
Sat dan Du yang masing-masing baru pulang dari Selatan dan Utara melaporkan bahwa semua aliran manusia dicemburui kelompok kuasawan ini. Aliran manusia itu dihalang, dihadang, dikekang dan dipalang supaya tidak sampai ke Stadium Merdeka.
Kelompok kuasawan tertentu itu bersungguh-sungguh menghalang, menghadang, mengekang dan memalang upacara penyampaian Memo Bersih
Hanya Tig saja tampaknya tidak henti-henti mendecipkan—menceritakan—tentang bagaimana ribuan manusia yang disengkang datang ke tempat perhimpunan itu. Gas pemedih mata dan pancutan air menyeksa menyamput aliran manusia. Kelompok kuasawan terpilih benci mendengar lirik senandung “Bersih” dinyanyikan seharmoninya.
Senja itu masyarakat hewan berkumpul lagi untuk menilai dan menafsir tindakan manusia dalam Peristiwa 9 Julai itu. Merjah tidak faham mengapa kelompok kuasawan “terpilih” begitu cemburu terhadap upaya memperbaik iklim demokrasi. Demokrasi rupa-rupanya ingin dikacip kepaknya agar tidak dapat terbang bebas.
Sebaik khalayak hewan penuh, Merjah pun bersyarah: “Hari ini kita belajar tentang kemurnian gerakan Bersih.”
Lalu, masyarakat hewan itupun menyanyikan senandung “Bersih, bersih…kasih, kasih!”.
a samad said
No Response to "Bersih, Bersih…Kasih, Kasih! - a samad said"
Leave A Reply