Total Pageviews

Sunday, 24 July 2011

Pakatan kekal pendirian tolak SPR guna biometrik



Pakatan Rakyat terus dengan pendiriannya menolak sistem biometrik yang akan digunakan pada pilihan raya umum ke-13 dan masih mahu kerajaan menggunakan dakwat kekal.
Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, pihaknya menolak sekeras-kerasnya sistem biometrik kerana tidak menjamin elemen satu orang satu undi semasa pilihan raya.

“Kita perlu menentang sistem ini. Sudah menjadi tanggungjawab rakyat memastikan negara bersih dan adil,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran slogan Selangorku di sini malam tadi.

Kelmarin, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan bersetuju memberi peruntukan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi mewujudkan sistem biometrik dalam mengesahkan pengundi yang sah pada pilihan raya.

Beliau berkata, ia adalah salah satu usaha untuk memastikan pilihan raya di negara ini dijalankan secara telus dan adil.

“Pelaksanaan sistem biometrik ini juga akan dapat mengatasi dakwaan-dakwaan bahawa wujudnya pengundi hantu pada pilihan raya di negara ini,” katanya.

Najib juga berkata kerajaan bersetuju memberi peruntukan kepada suruhanjaya itu bagi mewujudkan sistem biometrik dalam mengesahkan pengundi yang sah pada pilihan raya.

Salah satu tuntutan Bersih 2.0 baru-baru ini ialah menggunakan dakwat kekal, yang sepatutnya digunakan ketika pilihan raya umum 2008 tetapi dibatalkan pada saat-saat akhir.

Dalam pada itu, laporan Sinar Harian hari ini memetik Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar berkata, pihaknya masih melakukan kajian secara terperinci mengenai sistem biometrik.

Kata beliau, segala aspek berkaitan mengenai keupayaan, aplikasi, teknikal, kesan dan kosnya masih di peringkat kajian.

“Kita bekerjasama dengan pakar yang terlibat bagi memastikan keupayaan sistem ini berkesan apabila dilaksanakan kelak.

“Sistem biometrik yang digunakan imigresen berlainan dengan SPR kerana penggunaan kami adalah untuk pilihan raya,” kata beliau lagi.

Wan Ahmad berkata, sistem tersebut telah dikaji sejak 2010 oleh pakar yang dilantik bagi memastikan keupayaan dan tempoh yang dapat digunakan.

Akhbar yang sama memetik Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata, sistem biometrik mampu membuktikan pilihan raya negara ini telus dan adil.

Seiring dengan pendapat Dr Wan Azizah, Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berkata sistem biometrik lebih berisiko untuk dimanipulasi pihak berkepentingan walaupun ia boleh melakukan proses pengesahan pengundi secara elektronik.

Katanya, perkara ini lebih ketara memandangkan pemberian kerakyatan kepada warga asing semakin berleluasa kebelakangan ini.

Laporan Berita Harian memetik Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara Datuk Jariah Mod Said berkata sistem biometrik jabatannya, yang akan digunakan oleh SPR, untuk pengesahan pengundi kebal daripada manipulasi dan tidak boleh ditembusi oleh pihak berkepentingan untuk menipu ketika pilihan raya.

themalaysianinsider

Najib sehebat diktator negara luar



Kebebasan dan hak asasi manusia sedikit demi sedikit terpadam di bumi Malaysia semenjak Datuk Seri Najib Razak mengambil alih pemerintahan negara ini. Walaupun sebelum ini negara begitu dingin dengan kebebasan bersuara, namun kini makin parah di bawah Najib

Serba-serbi tidak bebas di Malaysia. Hak rakyat dinafikan jika tidak bersama dengan Umno-BN. Bagi pemimpin Umno-BN, rakyat Malaysia hanyalah yang menyokong Umno-BN sahaja. Yang lain dilayan seperti komunis di hutan seperti kata seorang professor yang dulunya mesra Umno.

Setiap penjuru dan ceruk dikawal kerajaan Umno-BN. Media, bahan penerbitan, risalah, ceramah, hak berhimpun secara aman dan hak bersuara, semuanya dinafikan oleh kerajaan jumud Umno-BN.

Media disekat bagai negara zaman batu

Sebelum ini, media alternatif yang pro kepada Pakatan Rakyat (PR) ditahan penerbitannya, ada yang disekat pengeluarannya, ada yang dihadkan penerbitannya kepada ahli parti semata-mata walaupun pada masa yang sama kerajaan menguasai pelbagai bentuk media massa, akhbar arus perdana yang pelbagai, siaran televisyen yang pelbagai channel, siang-malam diterbitnya berita yang menyerang PR dengan pelbagai fitnah, namun masih lagi takut dengan penerbitan dari media alternatif seperti blog dan laman web.

Kini pula, di zaman Najib, media antarabangsa yang bebas melaporkan berita yang telus di luar negara tetapi disekat dan digelapkan beritanya semata-mata mahu membohongi rakyat sendiri. Konon merekalah yang terbaik.

Hak bersuara dan demonstrasi aman dihalang

Bermacam-macam alasan diberikan untuk menghalang kebangkitan rakyat. Semuanya tidak masuk akal. Konon PR mahu menghidupkan kembali pengaruh komunis di negara ini, konon menjaga keselamatan negara lah, konon mahu menyelamatkan keamanan negara lah dan bermacam-macam alasan yang sudah basi seperti Yahudi dan Amerika beralasan memerangi keganasan padahal mahu menindas umat Islam.

Segala bentuk kekerasan diperlakukan terhadap rakyat sendiri apabila mengadakan himpunan aman seperti BERSIH 2.0. Polis dipergunakan sepenuhnya untuk memerangi rakyat sendiri dengan tembakan air kimia ‘water canon’, bom pemedih mata dan sebagainya. Kebebasan hancur lebur.

Seluruh dunia memerhati setiap gerak-geri penindasan yang dilakukan kerajaan Umno-BN. Imej negara begitu teruk dimalukan.

Peguam Perancis dihalau

Terbaru, seorang peguam hak asasi manusia dari Perancis, William Bourdon yang mengendalikan kes rasuah Scorpene di Perancis telah dihalau oleh pihak berkuasa pentadbiran Najib daripada datang ke Malaysia.

Bourdon dijadualkan menghadiri program penerangan berkaitan isu kontroversi pembelian Scorpene oleh kerajaan Malaysia di bawah pentadbiran Najib namun telah ditangkap dan dihalau keluar selepas tiba di Malaysia kelmarin.

Bourdon ditahan Jabatan Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan dihantar pulang ke Paris jam 11.30 malam kelmarin.

Tiada sebab pentadbiran Najib harus takut dengan Bourdon jika Najib merasakan pentabdirannya bersih dan tidak melakukan kesalahan. Tetapi jika tindakan jumud seperti ini dilakukan, bukan sahaja imej negara rosak dan merudum di mata dunia, bahkan segala dakwaan dan tuduhan pentadbiran Najib terlibat dengan penyalahgunaan kuasa dengan melakukan rasuah ketika pembelian kapal selam Scorpene akan disahkan betul oleh banyak pihak.

Bak kata orang, berani kerana benar tetapi jika bersalah, sudah tentulah takut berhadapan kebenaran pembongkaran yang bakal dilakukan oleh peguam Perancis berkenaan.

Najib sehebat diktator

Sekarang, bolehlah dibandingkan pemerintahan Umno-BN di bawah Najib menyerupai pemerintah diktator lain di seluruh dunia.

Seperti apa yang didakwa Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin, tindakan Najib menghalau peguam, William Bourdon yang mengendalikan kes rasuah Scorpene di Perancis, ‘melayakkan’ Perdana Menteri itu sebaris dengan diktator lain di dunia.

“Bourdon sebelum ini pernah dihalau oleh Ben Ali (gambar kiri). Kali ini, Najib pula mengulangi tindakan sama. Najib sama seperti Ben Ali, sebaris dengan Ben Ali. Tiada bezanya mereka berdua.

“Kalau tidak salah, kenapa dihantar balik peguam Perancis. Bourdon datang untuk jalankan tanggungjawabnya mendedahkan kontroversi pembelian Scorpene,” katanya yang lebih dikenali Chegu Bard dipetik dari Keadilandaily.

Bekas pemimpin Tunisia, Ben Ali adalah seorang beragama Islam tetapi tidak melaksanakan pemerintahannya berlandaskan syariat, malah menolak tuntutan al-Quran sebagai dasar sesebuah kerajaan sekalipun majoriti rakyat, beragama Islam.

Ben Ali juga menukarkan Tunisia kepada sebuah kerajaan polis apabila meletakkan seorang anggota polis bagi mengawal setiap 100 penduduk

Pemerintahan kuku itu berakhir berikutan kebangkitan rakyat hingga menyebabkan Ben Ali dan isterinya, Laila Trabelsi yang popular sebagai First Lady dan boros membelanjakan wang rakyat, melarikan diri ke luar negara.

Dilihat, apa yang berlaku di Malaysia di bawah Najib serupa dengan apa yang berlaku di Tunisia di bawah Ben Ali.

Mengulas lanjut, Badrul berkata, Najib dalam keadaan semakin terdesak dan kini takut akan bayang-bayangnya sendiri hingga akhirnya memalukan dirinya sendiri.

“Najib semakin tergugat apatah lagi takut pembohongannya terdedah dengan pembongkaran Bourdon,” kata Badrul lagi.

warkahdaily

salinan report mat sabu


ini adalah salinan report mat sabu

Makna dan Tanda 9 Julai (Oleh: Isham Rais)



Dalam pensejarahan setiap negara bangsa, akan wujud satu tarikh untuk diingati dan dikongsi bersama. Warga Palestin mengingati Nakba atau Malapetaka pada 15 Mei setiap tahun. Pada tarikh ini Israel diwujudkan. Pada tarikh ini juga tanah-tanah warga Palestin mula dirampas kaum Zionis.
Tarikh semenanjung Tanah Melayu menyambut Hari Malapetaka ialah pada 31 Ogos setiap tahun. Malapetaka menimpa Tanah Melayu pada tarikh ini apabila British mengagihkan pentabiran Tanah Melayu kepada United Malays National Organisation. Malapetaka ini sedang sama-sama kita rasakan.
Tetapi apa sangkut-pautnya Malapetaka ini dengan tarikh 9 Julai? Bukankah 9 Julai yang lepas hanyalah hari himpunan Bersih? Untuk memahami 9 Julai ini saya akan bawa kembali surah-surah sejarah agar pembaca dapat memahami makna dan tanda tarikh dan hari bulan ini.
Saya bawa kembali para pembaca ke zaman Julius Caesar dan kerajaaan Rom. Di Utara Itali ada Sungai Rubicon yang berlumpur merah. Sungai ini dijadikan garis sempadan. Kerajaan Rom membuat perundangan bahawa tidak ada sesiapa boleh melintasi Sungai Rubicon ini dengan membawa bala tentera.
Pada tahun 49 Sebelum Masehi Julius Caesar melintasi Sungai Rubicon dengan membawa satu ketumbukan bala tentera menuju ke arah kota Rom. Menyeberangi Sungai Rubicon memberi makna bahawa tidak ada lagi jalan pulang melainkan mengambil kota Rom. Tetapi 9 Julai kita dahulu lebih dari ini.
Kini biar saya bawa pula ke zaman sesudah Perang Dunia Pertama. Pada tahun-tahun 30’an kerajaan Perancis mendirikan tembok-tembok pertahanan di sempadan Perancis/Jerman. Tembok dan kubu-kubu pertahanan ini dipanggil Garis Maginot – ini nama Menteri Pertahanan Perancis sebelum Perang Dunia Kedua. Garis ini cukup kukuh - dengan kubu-kubu batu, tembok yang lengkap dipersenjatai dan pengkalan askar yang strategik – diatur di sepanjang Garis Maginot.
Apabila Perang Dunia Kedua pecah, Hitler mula menyerang Perancis. Kubu-kubu di Garis Maginot pada awalnya kelihatan kukuh dan mustahil untuk soldadu German menerobos masuk ke Perancis. Tetapi pada 10 Mei 1940 Garis Maginot ini ditembusi soldadu Hitler. Pada 14 Jun 1940 Peranchis jatuh ke tangan Nazi. Tetapi 9 Julai kita dahulu lebih dari ini.
Biar saya bawa pula para pembaca yang budiman ke tahun 711 – di zaman kegemilangan tamadun Arab. Pada 29 April 711, Tariq ibni Ziyad panglima perang dari Moroko berjaya menyeberang Laut Tengah dan memasuki Semenanjung Ibera. Sesampai di pantai selatan Laut Tengah, Tariq membakar semua kapal-kapal yang membawa bala tenteranya.
Tariq ibni Ziyad menerangkan pada bala tenteranya bahawa di hadapan mereka terbentang luas negara Sepanyol yang subur untuk ditawan. Di belakang mereka ialah Moroko. Tetapi mereka tidak memiliki pilihan kerana semua kapal untuk pulang telah dibakar. Hanya satu pilihan – untuk terus mara dan menawan Sepanyol. Tetapi 9 Julai dahulu lebih dari ini.
Sekarang mari kita sesama melihat kembali pensejarahan 9 Julai. Apabila Bersih mengumumkan 9 Julai sebagai Hari Perhimpunan dengan 8 tuntutan – saya rasa tidak begitu ramai yang ambil ‘pot’. Ada komen yang mengatakan kempen Bersih 2007 dahulu lebih baik kerana masa berkempen agak panjang. Kali ini masanya singkat. Pasti tidak ada sokongan. Ada yang mengatakan bahawa Rosmah dan Najib ini amat popular dan susah untuk digelincirkan. Ada pula yang memberi komen bahawa tunjuk perasaan ini bukan budaya kita.
Semua hujah-hujah ini menjadi hampeh apabila Mat Sabu dipilih untuk menjadi Timbalan Presiden Pas. Semua suasana politik berubah. Perubahan mendadak berlaku apabila Mat Sabu membuat kenyataan terbuka bahawa sebagai Timbalan Presiden Pas, dia akan memastikan 300,000 ahli Parti Pas turun ke jalan raya pada 9 Julai. Kenyataan Mat Sabu ini terus menaikkan berat badan Rosmah Mansor sebanyak tiga kilo.
Biar saya terangkan sejelas mungkin di sini. Semua daulah yang zalim - untuk meneruskan kuasa - akan menakut-nakutkan warganya. Ini adalah teknik dan strategi yang diguna pakai semua pemerintah - raja, maharaja, ratu, presiden atau perdana menteri – semua menggunakan ‘takut’ sebagai alat. Warga negara yang takut akan menjadi bodoh. Warga yang bodoh tidak berani bersuara. Warga yang takut dan bodoh amat senang untuk ditambat dan dijadikan kuli batak.
Apa yang dilakukan oleh Rosmah dan Najib ialah mengarahkan sepupunya, Hishammuddin Hussein untuk menakut-nakutkan rakyat. Yang menjadi barua untuk menakut-nakutkan orang ramai ini ialah Timbalan Ketua Polis. Lihat bagaimana pada satu ketika warna kuning untuk – kasut, payung, baju – diistiharkan sebagai warna haram untuk dipakai. Ini contoh terbaik gerak kerja seekor barua.
Tidak cukup dengan tangkapan polis, rakyat juga cuba ditakut-takutkan dengan kehadiran pesilat yang memiliki ilmu kebal dan ilmu ghaib. Untuk terus menakut-nakutkan orang ramai tetiba kita melihat kemunculan berita apabila polis dan tentera mengadakan latihan bersama. Tidak cukup dengan berita ini ada sepanduk yang tertera dengan tulisan besar dalam empat bahasa termasuk tulisan Jawi : Jika Tidak Berundur Kami Akan Tembak.
Taktik untuk menakutkan orang ramai ini dinaikan lagi suhunya dengan kemunculan Perkasa dengan juruhebohnya Ibrahim Ali. Setiap hari tanpa henti-henti Ibrahim Ali telah berleter dan berheboh dengan segala macam berita yang bertujuan untuk mengancam dan menakut-nakutkan orang ramai daripada turun ke jalan raya.
Dalam masa yang sama saban hari media milik United Malay National Organisation mengeluarkan dua bentuk berita. Satu berita-berita yang berniat untuk mengancam warga agar jangan berani turun ke jalan raya. Satu lagi berita untuk memburuk-burukan dan memperlekeh Bersih.
Tidak cukup dengan semua ini , enam ahli Parti Sosialis Malaysia telah ditahan. Kali ini dengan menggunakan Akta Darurat. Entah macam mana – putar dan belit – Rosmah, Najib and sepupunya telah memintal lidah untuk menipu orang ramai. Sepupu Najib berkata bahawa enam anggota PSM ini ingin melawan Agong.
Ya Ampun. Lawak ini menjadi seram apabila kita diberitahu bahawa hanya Dr Jeya seorang sahaja yang tahu di mana rumah Agong dan pernah melihat rupa muka Agong. Ini kerana Dr Jeya seorang Ahli Parlimen dan Agong telah beberapa kali datang ke Parlimen. Yang lima lagi ini, saya difahamkan hanya aktivis PSM yang rata-rata tidak tahu sangat tentang jalan-jalan di Kuala Lumpur. Malah mereka berlima ini mungkin tidak dapat membezakan muka Agong dengan muka Dugong.
Di belakang semua huh hah huha hah ini ada pula perang saraf yang disebarkan oleh ‘desas bin desus’. Ada cerita tetang tangkapan ISA, tentang askar akan ambil alih negara dan kisah penangkapan beramai-ramai ala Operasi Lalang. Cerita peglipur lara dari Desas bin Desus ini sebenarnya adalah sebahagian dari pernah saraf yang tersusun untuk menakut-nakutkan orang ramai.
Apa yang terjadi pada 9 Julai?
Untuk saya bukan 6 ribu, bukan 60 ribu atau bukan 600 ribu warga yang turun ke jalan pada 9 Julai untuk dijadikan ukuran. Untuk saya angka ini bukan persoalan. Kalau pun hanya 6 orang yang turun pada 9 Julai yang lalu – saya anggap ini adalah satu kemenangan. Kenapa saya berkata sedemikian?
Mungkin ramai yang tidak sedar. Mungkin ramai yang belum faham lagi. Apa yang terjadi pada 9 Julai dahulu ialah kita warganegara Malaysia telah melintasi Garis Takut. Garis Takut ini adalah sebahagian dari garis psikologi yang dipasang apabila Malapetaka 31 Ogos dihempapkan kepada kita semua.
Garis Takut adalah Garis Maginot – garis pertahanan untuk United Malay National Organisation menyebarkan falsafah ketuanan Melayunya. Pada 9 Julai yang lalu Garis Takut ini telah sama-sama kita lintasi. Dari kajian awal Bersih hampir 120,000 warga telah turun dan terlibat di jalan raya pada 9 Julai yang lalu. Kesemua mereka telah melintasi Garis Takut.
Garis Takut ini juga telah memecahkan mitos Mei 13 dan pergaduhan kaum. Babak Mei 13 ini telah meghantui kita selama berpuluh tahun. Pada 9 Julai yang lalu hantu dan mitos Mei 13 hancur berderai-derai. Anak anak muda yang turun ke jalan raya pada 9 Julai yang lalu telah menangkap hantu 13 Mei ini dan memasukkan ke dalam botol untuk dibuangkan ke Laut Kalzom.
Pada 9 Julai yang lalu terbukti anak anak muda – anak semua bangsa – tidak ambil ‘pot’ langsung terhadap Perkasa, polis, tentera atau ISA. Inilah bukti sahih yang mereka telah melintasi Garis Takut. Anak-anak muda di jalan raya telah masuk ke satu dunia yang baru.
Melintasi Garis Takut ini bermakna kita semua – para penyokong Bersih – telah juga menyeberang menyeberang Sungai Rubicon. Seperti Julius Caesar, kita juga tidak ada pilihan melainkan mara mendobrak kezaliman dan ketidakadilan.
Pasti ada yang akan menyoal – kapal mana yang telah kita bakar 9 Julai lalu?
Senyum dan senyumlah. Kapal yang telah kita bakar pada 9 Julai ialah Kapal Kerajaan Perpaduan. Seperti Tariq ibni Ziyad – pada 9 Julai dahulu segala mimpi, segala angan-angan untuk mengundur pulang ke Tangier telah musnah. Segala mimpi, segala angan-angan untuk Pas dan United Malay National Organisation menubuhkan Kerajaan Perpaduan terbakar di Lebuh Pudu dan di Dataran Maybank.
Tembakan gas pemedih mata di terowong stesen bas KL Sentral adalah mancis api yang membakar Kerajaan Perrpaduan. Apabila Hadi Awang ditangkap dan Mat Sabu dilanggar kereta polis ini adalah keruntuhan tiang layar kapal Kerajaan Perpaduan.
Kita telah menyeberang Sungai Rubicon, kita telah melintasi Garis Maginot dan kita telah membakar Kapal Perpaduan. Kini kita sedang berada dalam dunia yang baru. Kita berada dalam wilayah yang memungkinkan kita menamatkan Malapetaka yng menghempap kita semenjak Ogos 1957 dahulu. Di belakang kita ialah takut di hadapan kita ialah Putrajaya yang subur dan menjanjikan untuk diambil.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=17284

PAS: Mengapa mahu siarkan selepas dua minggu?




Video yang ditayangkan pihak polis Khamis lalu dan akan disiarkan melalui rangkaian televisyen yang dikuasai kerajaan dan Umno mengenai himpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai sesuai untuk zaman televisyen hitam putih, kata ahli jawatankuasa pusat PAS, Idris Ahmad.

“Sayang seribu kali sayang, skrip ini hanya sesuai di zaman televisyen hitam putih, sedangkan sekarang zaman IT yang bergerak pantas seperti kilat,” kata Idris (pertama dari kanan, berketayap) dalam satu kenyataan media.

Menurut pemimpin PAS itu, polis sekarang berada di dalam keadaan serba salah untuk menafikan bahawa mereka tidak berkasar ketika berdepan dengan tunjuk perasaan aman BERSIH 2.0 yang lalu.

Terbaru, katanya, polis terpaksa menayang rakaman video menunjukkan layanan baik polis kepada peserta perhimpunan.

“Hampir dua minggu baru polis menyiarkan video versi polis sedangkan seluruh dunia sudah menyaksikan keganasan polis sewaktu berhadapan dengan peserta demo melalui Youtube yang disiar selepas beberapa minit demo berlalu.

“Sekarang polis susah hati, kerana rakyat tidak boleh menerima tayangan skrip polis,” katanya.

Menurut Idris, beberapa soalan patut dibangkitka, antaranya kenapa lambat sangat video ditayang, sedangkan lambakan gambar yang terpapar melalui lensa kamera dan juga internet adalah sebaliknya.

Justeru, katanya adalah mustahil di dalam beberapa minit demo rakaman yang menunjukkan polis bertindak ganas itu boleh disunting.

“Kenapa insiden gambar Tuan Haji Mohamad Sabu tidak ditayangkan sepenuhnya?” soalnya.
Nasib polis

Beliau merujuk taklimat Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Salleh Mat Rashid, Khamis lalu yang berkata tidak ada kebenaran bahawa kenderaan milik polis melanggar motosikal timbalan presiden PAS itu.

"Malah rakaman CCTV menunjukkan beliau terjatuh dari kenderaannya selepas terlanggar 'fender' Pajero,” kata Salleh.

Malah, wartawan yang hadir ditunjukkan video sebuah kenderaan polis mengejar dua motosikal, satu yang dibonceng oleh Mat Sabu. Namun visual berkenaan tidak jelas menunjukkan apa yang berlaku kerana beberapa sudut pandangan tidak dapat dirakamkan.

Menurut Idris, Mohamad Sabu juga dituduh tidak cedera oleh pihak polis termasuk pemimpin Umno yang mendakwa beliau berlakon.


“Sedangkan satu dunia tahu bahawa timbalan presiden PAS itu sudah menjalani pembedahan di hospital pakar Shah Alam, bukan bomoh patah Pongsu Seribu,” katanya.

Menurut beliau polis sekarang sedang bertarung dengan peserta BERSIH dan perlu menjawab tohmahan yang dilemparkan terhadap mereka.

“Inilah nasib polis apabila bernaung di bawah kerajaan BN yang tidak bijak mengurus hal ehwal kepolisan.

“Insya Allah profesional polis akan dipertingkatkan jika Pakatan Rakyat diberi mandat di dalam PRU ke-13 nanti,” katanya.

Video polis sahih

Semalam, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Rais Yatim berkata Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan menyiarkan video perhimpunan 9 Julai lalu yang dirakamkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau berkata apa-apa video mahupun gambar yang dapat menjawab tomahan yang mendakwa pihak berkuasa berlaku zalim terhadap para peserta perhimpunan BERSIH 2.0 itu, perlu didedahkan kepada orang ramai.

Mengenai sama ada video itu kelak akan disiarkan berulang kali atau tidak, Rais berkata semua itu akan bergantung kepada keadaan dan kesesuaian.

Antara klip rakaman yang dipertontonkan kepada wartawan pada Khamis lalu adalah mangsa tunggal perhimpunan BERSIH 2.0 yang meninggal dunia, Baharudin Ahmad, pada perhimpunan 9 Julai itu.

Polis menafikan lelaki itu dibelasah pihak berkuasa dan mendakwa tulang rusuk lelaki itu patah adalah mungkin disebabkan oleh rawatan Cardiopulmonary Resuscitation (CPR) yang diberikan.

Salleh juga menafikan luka di bibir dan gigi lelaki berusia 58 tahun itu patah adalah akibat keganasan pihak polis.

“Saya diberitahu terdapat dakwaan tiga tulang rusuk dan giginya patah. Menurut pakar perubatan tulang rusuk itu patah mungkin akibat rawatan CPR.

“Mengenai gigi yang patah, ini mungkin kerana tiub dimasukkan ke dalam mulutnya kerana pegawai perubatan cuba menyedarkannya semula,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula semasa di Melaka, semalam berkata video pada perhimpunan 9 Julai lalu yang dipaparkan oleh polis adalah rakaman yang sahih dan sah bertujuan mendedahkan situasi sebenar dan bukannya bermotifkan politik.

RTM dan TV3

Sementara Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar pula berkata beliau telah menyerahkan rakaman video itu kepada stesen penyiaran termasuk Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) dan TV3.

Rakaman video polis itu turut menunjukkan layanan baik polis terhadap pemimpin BERSIH termasuk pengerusinya Datuk S Ambiga, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan ahli parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar.

Ada juga babak di mana polis memakaikan topeng penutup hidung dan mulut kepada Nurul Izzah dan dalam video itu itu turut menayangkan keterangan ikhlas Hadi di Lapangan Terbang Terengganu bahawa beliau mengaku menerima layanan yang baik daripada polis kepada penyokong-penyokongnya.

Video itu turut menayangkan bagaimana orang ramai ditahan dengan cara baik, diminta menunjukkan kad pengenalan diri dan beg, orang tua yang mengalami sakit pinggang dibantu polis untuk naik di atas kereta polis dan pertanyaan kepada tahanan dengan berhemah.

"Mereka juga tidak digari...Malah, mereka diberi kebenaran untuk menghubungi ahli keluarga...Kesemua yang ditahan juga dihantar ke pusat tahanan sementara di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) dengan pelbagai persediaan dilakukan antaranya tempat menunggu (untuk proses dokumentasi) yang selesa, makanan dan minuman, tempat bersolat dan berwuduk," kata polis.

malaysiakini

peguam :Drama kejar mengejar aku, Mat Sabu, polis




Kali ini aku ingin ber­kongsi cerita pra, semasa dan pasca himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu. Kita mulakan dengan fasa pra perhimpunan. Aku dan Mat Sabu berada di luar negara kerana bererehat sebentar dek terlalu banyak kes Mahkamah yang melibatkanku (peguam) dan Mohamad Sabu atau lebih mesra dipanggil Mat Sabu (anakguam) yang juga Timbalan Presiden PAS.



Di luar negara kami berbincang adakah Mat Sabu perlu ke Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 8 Julai iaitu sehari sebelum Himpunan Bersih. Mat Sabu agak risau dicekup pada 8 Julai di Pulau Pinang maka ter­lepas untuk menyertai himpunan Bersih. Aku katakan pada Mat Sabu bahawa kami perlu hadir pada 8 Julai di mahkamah.

Maka pada hari tersebut, kami berdua berlepas ke Pulau Pinang dari Lapangan Terbang Subang pada jam 6.55 pagi. Di Pulau Pinang aku dan Mat Sabu hadir di Mahkamah Tinggi bagi rayuan kes oleh Pendakwaraya ke atas keputusan Mahkamah Majistret di Jawi yang membebaskan Mat Sabu dan sembilan yang lain. Tapi jahatnya pihak pendakwaraya, mereka hanya merayu kes Mat Sabu sahaja.

Alhamdulillah di Pulau Pinang Mat Sabu tidak ditangkap. Ramai yang menyapa Mat Sabu tanpa mengira bangsa di Pulau Pinang dan semua bersemangat bercerita tentang Bersih dan tindakan polis yang mereka kata agak kururang siuman. Jam 6.30 petang, kami sampai di Subang. Kenderaan dan petugas keselamatan PAS menanti kami. Di Lapangan Terbang Bayan Lepas, kami membeli baju warna kuning yang bakal dipakai di perhimpunan Bersih 2.0 keesokan harinya.

Pemandu yang membawa kami beritahu banyak sekatan jalan polis dan jika naik kereta tidak selamat. Dua buah motosikal disediakan untuk kami. Sampai di sebuah stesen minyak, Mat Sabu membonceng motosikal untuk dibawa ke sebuah hotel di ibu kota dan aku pula dibawa ke rumah. Kami berjanji akan jumpa malam itu di hotel.

Sebaik sahaja sampai di rumah, aku membersihkan diri dan jam 12 malam berjumpa Mat Sabu di sebuah hotel di ibu kota.

Pagi 9 Julai, aku tinggalkan Mat Sabu di bilik hotel dan turun minum. Aku hanya berseluar jeans hitam dan ber­baju T merah (tapi bukan Patriot). Aku minum di gerai mamak tidak jauh dari hotel. Ramai ahli PAS turut minum dan menyapaku. Kepala aku hanya memikir satu perkara; bagaimana nak melepasi banyak sekatan jalan polis? Aku dan Mat Sabu saling ber­hubungan melalui SMS (khidmat pesanan ringkas).

Tiba-tiba aku terima SMS dari sahabat PAS Johor yang secara kebetulan dapat maklumat daripada seorang kawan lain yang berada di hotel penginapan Mat Sabu. SMS itu berbunyi; “Beritahu akhie Hanipa jangan balik ke hotel kerana polis sedang cari dia.”

Aku forwardkan SMS itu kepada Mat Sabu. Aku minta kawan yang minum bersama aku untuk lihat keadaan di hotel. Kawan aku pergi ke hotel dan beritahu ramai polis berkeliaran. Aku menelefon Dr Mohd Hatta Ramli dan beliau minta aku dan Mat Sabu ke Masjid Negara jika boleh lepas dari kepungan polis. Aku beritahu Mat Sabu apa yang Dr Hatta beritahu. Mat Sabu kata kita ke sana untuk solat Zohor. Maka petugas keselamatan menyediakan dua motor dengan dua penunggang. Aku naik satu motor dan Mat Sabu naik satu motor yang lain.

Sebaik sahaja Mat Sabu berjaya turun ke bawah (polis tidak menyedari Mat Sabu sudah terlepas), kedua-dua motor memecut deras membawa kami. Aku amat gayat membonceng motor yang dipandu laju. Tiba-tiba motor yang membawa Mat Sabu berhenti kerana dalam jarak 100 meter ada sekatan jalan polis. Kami cuba masuk ke kawasan perumahan dan tidak semena-mena kenderaan pacuan empat roda polis dan dua kereta peronda meluru laju dan membrek di hadapan motor kami.

Kami cuba berpatah balik tetapi dikepung dan pacuan empat roda polis dengan sengaja melanggar motosikal yang dinaiki Mat Sabu. Aku nampak bahagian depan jip Pajero itu melanggar kaki Mat Sabu.

Kedua-dua motosikal yang kami naiki jatuh dan beberapa anggota polis bertindak ala gangster menerpa kami sambil berteriak. Aku dijatuhkan dan muka aku ditekan oleh polis sehingga ter­kena roda motosikal. Aku lihat Mat Sabu dalam kesakitan dan memberitahu polis bahawa dia tidak boleh berjalan.

Tanganku digari ke belakang dan dimasukkan ke dalam kereta peronda. Aku protes tangkapan tersebut dan memberitahu polis yang aku seorang peguam. Namaku juga tiada dalam perintah mahkamah. ACP Fairuz (yang juga aku kenal kerana akulah peguam yang menyoal balas beliau dalam kes himpunan Protes) hanya mengatakan beliau “ikut arahan”. Jawapan standard polis.

Kami berempat dibawa ke Balai Polis Jinjang. Dari sana Mat Sabu kemudiannya di bawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan. Di Jinjang aku dikenali oleh beberapa anggota polis yang bekerja di mahkamah dan mereka agak terkejut kerana aku ditangkap. Apabila merereka kata pada aku “maaf tuan’ polis yang lain pula terkejut. Aku bersyarah panjang pada polis tentang hak orang yang ditangkap dan sedikit sebanyak mereka akur.

Aku dimasukkan ke dalam sel bersama-sama dua pemandu motosikal yang membawa kami. Di dalam sel, rupanya sudah ada merereka yang ditangkap kerana perhimpunan Bersih. Apabila aku ingin bersolat Zohor, polis arahkan aku berpindah sel. Aku dibawa ke sel baru dan di situ aku terserempak dengan Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub dalam sel seorang diri. Aku juga melihat seorang lagi Naib Presiden PAS, Dato’ Mahfuz Omar juga dalam sel seorang diri. Aku diletakkan dalam sel bersebelahan Mahfuz. Kami bertiga dikurung di sel berasingan seorang diri (solitary confinement).

Tidak lama kemudian Tian Chua pula dimasukkan ke dalam sel di sebelah aku. Selepas itu Mat Sabu pula dimasukkan ke dalam sel di depan sel kami. Beliau hanya berkain pelekat dan kaki berbalut.

Mat Sabu berjalan terdencot-dencot. Tidak lama lepas itu Sivarasa Rasiah pula dimasukkan dalam sel di sebelah sel Mat Sabu. Maka kami ber­bual (sahut-menyahut) dengan nada ria antara satu sama lain.

Nampaknya, polis boleh menahan kami tetapi tidak boleh mencabut kegembiraan kami menentang kezaliman polis dan BN.

oleh Mohamed Hanipa Maidin
detikdaily

Saturday, 23 July 2011

Bersih, Bersih…Kasih, Kasih! - a samad said




SENJA itu barulah masyarakat hewan di tasik indah tersebut dapat berhimpun semula. Seperti biasa, setelah enak mandi di tasik, Merjah yang sampai dulu. Entah bagaimana burung merpati yang bertiga itu sempat melakar warna dan kata pada badan Merjah sehingga terbentuklah abjad “B” hampir di serata badannya. Merjah bangga kerana dia tahu bahawa abjad “B” berlatar kuning itu bererti “Bersih”.

Merjah tidak risau akan persekitaran tasiknya. Tasik itu sentiasa tenang—dan pada waktu senja, sentiasa indah, sentiasa jernih, sentiasa bersih. Dengan tidak membacanya pun Merjah tahu bahawa abjad “B” itu sangat nyaring dan merdu bersuara. Dan seperti berulang didengarnya: “Bersih, Bersih—kasih, kasih!”

Semua penghuni tasik itu sudah pun pulang—melalui daratan dan angkasa—dari sejauh sempadan di Selatan dan di Utara . Sejak dua minggu lalu aliran manusia sudah pun mula ditapis oleh para kuasawan yang sangat megah berkuasa.
Sat dan Du yang masing-masing baru pulang dari Selatan dan Utara melaporkan bahwa semua aliran manusia dicemburui kelompok kuasawan ini. Aliran manusia itu dihalang, dihadang, dikekang dan dipalang supaya tidak sampai ke Stadium Merdeka.

Kelompok kuasawan tertentu itu bersungguh-sungguh menghalang, menghadang, mengekang dan memalang upacara penyampaian Memo Bersih

Hanya Tig saja tampaknya tidak henti-henti mendecipkan—menceritakan—tentang bagaimana ribuan manusia yang disengkang datang ke tempat perhimpunan itu. Gas pemedih mata dan pancutan air menyeksa menyamput aliran manusia. Kelompok kuasawan terpilih benci mendengar lirik senandung “Bersih” dinyanyikan seharmoninya.

Senja itu masyarakat hewan berkumpul lagi untuk menilai dan menafsir tindakan manusia dalam Peristiwa 9 Julai itu. Merjah tidak faham mengapa kelompok kuasawan “terpilih” begitu cemburu terhadap upaya memperbaik iklim demokrasi. Demokrasi rupa-rupanya ingin dikacip kepaknya agar tidak dapat terbang bebas.
Sebaik khalayak hewan penuh, Merjah pun bersyarah: “Hari ini kita belajar tentang kemurnian gerakan Bersih.”

Lalu, masyarakat hewan itupun menyanyikan senandung “Bersih, bersih…kasih, kasih!”.

a samad said
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Followers

Bloggers - Meet Millions of Bloggers Kedah Blogger Community